DAKWAH ASPIRATION INSPIRING ENTITY

Your description goes here

Demi Masa

Reccent Post

Laman Link

Thaqafah Ilmiah

Followers

Kalendar

Laman Sembang

Rumah Ehsan Kuala Khubu Bharu Selangor

Syukbah Dakwah Darul Quran telah mengadakan lawatan ke Rumah Ehsan yang bertempat di Kuala Khubu Bharu pada hari Sabtu ber

tarikh 25 Disember 2010

Hospital Sungai Besi

Kenangan terindah melawat orang-orang sakit di Hospital Sungai Besi sempena lawatan Syukbah sendiri

D.A.I.E TEAM FOOTBALL

Team Dakwah telah mengadakan perlawanan persahabatan diantara sem2 yang lain bg memeriahkan suasana liga sem yang telah dianjurkan oleh badan kepimpinan sem dakwah sendiri...

.:: Selamat Datang Ke Laman Website Dakwah Aspiration Inspiring Entity ::.

Daripada Abu Umamah al -Bahili, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah, malaikat dan ahli (penduduk) langit dan bumi; hinggakan semut di dalam lubang dan juga ikan paus ( meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut ) mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia". (Riwayat al-Tirmizi)




Selamat Hari Guru kepada semua guru. Jasamu akan dikenang sepanjang hayat. Tetaplah ikhlas dan tabah memikul amanah ini kerana setiap yang engkau berikan akan memberikan kebaikan kepadamu kembali.

Guru oh Guru

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang
1979

Selamat Hari Guru!!!...

وَلِيَعۡلَمَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ أَنَّهُ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَيُؤۡمِنُواْ بِهِۦ فَتُخۡبِتَ لَهُ ۥ قُلُوبُهُمۡ‌ۗ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَهَادِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِلَىٰ صِرَٲطٍ۬ مُّسۡتَقِيمٍ۬
Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.
(Surah Al-Hajj 22: Ayat Ke 54)

Kenal, kasih dan korban. Itulah kunci dalam tarbiyyah(pendidikan). Kenal membuahkan kasih, kasih pula melahirkan pengorbanan. Pengorbanan itulah hasil tarbiyyah yang paling gah. Segah tembok besar negeri China, sekadar dijerit dan disalak tidak mungkin roboh menyembah bumi.

Terpegun kita mendengar cerita-cerita pengorbanan. Seronok didengar, bersemangat selepas mendengar, tapi bila sampai kepada giliran kita, kita lari mencicit kebelakang. Pengorbanan hanyalah sekadar laungan lantang di mulut. Cerita pengorbanan hanyalah untuk diakhiri dengan aliran air mata sahaja.

Susah benar untuk membentuk kenal. Manusia bermacam ragam. Kenal bukanlah sekadar tahu nama, asal dari mana, ambil bidang apa, tetapi kenal itu adalah kenal yang sedalam-dalamnya, luas maksudnya. Naqib saya di sekolah dahulu, mendefinisikan kenal yang paling hebat ialah masuk ke rumah sahabat dan menjejak tandas dirumahnya, lalu melangsaikan hajat disitu. Ketawa besar kami dikala itu.

Maka itulah kenal yang tersangat ajaib. Daripada kenal yang sangat ajaib ini, kasih berputik memekar. Kasih itulah yang dikatakan ukhuwwah. Kasih inilah fitrah manusia. Semua tahu kasih tidak boleh dibuat-buat, apatah lagi dipaksa-paksa. Kasih tidak mungkin terjadi dengan taburan dan lontaran wang ringgit, tidak juga dengan tawaran habuan kesenangan dunia tetapi ianya terlahir dari kenal yang mendalam.

Nabi S.A.W pesan kepada kita,

"Tidaklah beriman seseorang di antara kamu sehingga ia mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri" - Hadits Riwayat al-Tirmidzi

Nabi Muhammad S.A.W adalah contoh terbaik insan yang memiliki teladan sifat kasih. Baginda mengasihi sahabat , sahabat pula teramat-amat mengasihi baginda. Sehinggakan Umar tidak dapat menerima kemangkatan Baginda, lalu Abu Bakar memujuk-mujuk Umar.

Sesiapa yang menyembah Muhammad, Muhammad sudah wafat tetapi siapa yang menyembah Allah swt Dia kekal abadi.

Kenyataan Abu Bakar dibantu oleh firman Allah swt yang bermaksud:

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? – (Ali Imran : 144.)

Demikianlah sebuah kasih agung yang terukir didalam sejarah.

Bermula dengan kasih, akan tertonjol pengorbanan di penghujungnya. Namun malang, banyak manusia tersalah memberi kasih, diakhirnya tersalah memberi pengorbanan. Adapun di IPT semakin banyak pengorbanan belayar di bahtera-bahtera haram tanpa lesen L, P mahupun kompeten. Buahnya ialah rencana-rencana di dada akhbar, bayi dicampak dalam tong sampah. Paling durjana, bayi dibakar.

Tapi, itulah pengorbanan. Bermula dari kenal, kemudian berputik kasih. Sifirnya mudah, salah kenal, maka kasihnya juga akan tersalur ke jalan yang salah.

Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man pernah cakap,

"Tarbiyyah yang paling ulung ialah tarbiyyah yang mampu melahirkan manusia yang sanggup berkorban"

Justeru, pengorbanan yang sepertimana yang perlu tertanam dalam diri umat ini? Sedangkan kita digolongkan sebagai umat terbaik, dengan beberapa kriteria mudah yang Allah gariskan, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada-Nya.

Sebelum kita mulakan langkah berkorban. Ayuh kita kenal apa yang perlu kita korbankan berdasarkan status kita sebagai umat terbaik. Kita mesti kenal dan tahu kenapa kita mesti berkorban.

Jomlah kita kenali perjuangan kita. Semestinya, jelasnya kenal kita ini kepada perjuangan akan membawa kepada muncul kasih untuk menghulurkan pengorbanan ke arah meng-izzah-kan Islam. Kenal dengan orang-orang yang berjuang akan dapat menyemai kasih dan menyuburkan Ukhuwah Islamiyah.

Datanglah tohmahan, ujian, tawaran dunia, emas, wang ringgit. Kesemua itu dikesampingkan apabila kenal dengan perjuangan. Datanglah keletihan, semua itu lenyap sama sekali dek kerana Ukhuwah Islamiyyah meleburkannya. Itulah keramatnya kenal, kasih dan korban.

Tapi awas, jika terus berkorban tanpa bermula dengan kenal yang baik. Maka jangan hairanlah, satu hari nanti pengorbanan itu hanyalah sekerat jalan saja. Gugur tiada pusara, menjadi bualan orang, malu sepanjang zaman

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Tiadalah di atas dunia ini seorang Muslim yang berdoa melainkan akan diperkenankan Tuhan atau dipalingkan daripadanya kejahatan selama dia tidak berdoa perkara-perkara yang berdosa atau membuat perkara yang memutuskan tali persaudaraan. Lantas seorang lelaki berkata: "Kalau begitu kita perbanyakkan doa? Jawab baginda: " Di sisi Allah (penerimaan) lebih banyak." (Riwayat at-Tirmizi)



i) Setiap umat Islam dituntut supaya berdoa kerana doa adalah inti pati kepada segala ibadah. Orang yang enggan berdoa dianggap sebagai orang yang sombong, takbur dan bongkak.

ii) Ketika berdoa, kita hendaklah peka kepada apa yang didoakan (dipohon), janganlah berdoa dengan mulut sahaja sedangkan hati kita lalai. Sebaliknya hadirkan hati serta hayati apa yang dipohonkan itu serta yakin bahawa Allah akan menerima doa tersebut kerana sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan memperkenankan doa orang yang hatinya lalai dan alpa.

iii) Supaya doa dimakbulkan, hendaklah kita mematuhi adab-adab berdoa serta memilih masa dan tempat yang sesuai kerana Allah dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya selama mana apa yang diminta itu merupakan perkara-perkara yang baik. Begitu juga Allah yang sifat-Nya yang Maha Pengampun tidak akan menolak doa hambanya yang beristighfar dan berdoa memohon keampunan dari segala dosa yang telah dilakukan.

Nukman bin Basyir meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W pernah bersabda:"Doa merupakan satu ibadat, lalu baginda membaca ayat: "Dan berkata Tuhan-Mu: "Berdoalah kepada-Ku..."(Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Doa adalah jambatan seorang hamba untuk menyampaikan keinginannya. Namun hendaknya kita tidak hanya meminta sesuatu yang hanya mencakupi urusan dunia semata, melainkan mencakupi urusan dunia dan akhirat sekaligus sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Quran yang maksudnya:

"Maka di antara manusia ada yang berdoa, 'Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia'. dan tiadalah baginya kebahagiaan di akhirat. Dan di antara mereka ada yang berdoa, 'Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka.' Mereka itulah orang-orang yang mendapat kebahagiaan dari apa yang mereka usahakan. Dan, Allah sangat cepat perhitungan-Nya." (al- Baqarah : 200-202).

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُواْ لِي وَلْيُؤْمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berDoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 186)

Download Facebook Profile Picture ini dan Upload Di Facebook Anda

Rasulullah s.a.w pernah bersabda,
"Beribadah disaat-saat huru hara, dunia kacau bilau adalah seperti hijrah kepadaku."(Hadis riwayat Imam Muslim).

Muslim yang mampu beribadah dan menunaikan kewajipan agamanya disaat-saat yang penuh dengan huru-hara dan gangguan daripada segenap penjuru dan mampu mengingati Allah s.w.t disaat-saat orang lain lupa dan disibukkan dengan perkara yang melalaikan. Mereka akan diberikan pahala seperti pahala hijrah yang telah dilalui oleh kaum muhajirin dizaman Rasulullah s.a.w.


Inilah hikmah perbezaan zaman. Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang mampu beribadah walaupun dalam keadaan dan suasana yang sangat menyibukkan dan mudah- mudahan kita mendapatkan pahala besar yang telah dijanjikan Allah seperti yan dinyatakan dalam hadis Rasulullah s.a.w.

Hadis ini termasuk dalam kitab yang menerangkan tentang hadis-hadis akhir zaman sedangkan tiada disebut dalam lafaz dan mantan hadis peristiwa tentang akhir zaman ataupun tanda-tanda kiamat. Tetapi pada maknanya inilah kejadian akhir zaman.Kita duduk pada zaman yang terakhir.

Tanda hari kiamat sudah mendekati dunia islam ialah Kelahiran Nabi Muhammad S.a.w itu sendiri. Nabi telah meninggalkan kita sudah 1430 tahun dan kita ini sudah berada di penghujung. Dunia sudah terlalu tua. Dalam keadaan yang penuh dengan huru-hara. Ini terbukti dengan macam-macam kisah jahil dengan niat mengejar dunia,cari makan,cari harta dan sebagainya.

Sibuk dengan pemerintahnya,sibuk dengan hal masing-masing ataupun huru- hara dengan makna berlakunya pelbagai maksiat yang tak pernah berlaku dan maksiat yang sudah berlaku semakin bertambah banyak.

Maka dalam keadaan masyarakat hari ini.Masing-masing lupa kepada beribadah kepada Allah. Barangsiapa yang masih lagi sempat meluangkan masa beribadah kepada Allah maka pahala-pahala hijrah.iaitu pahala yang telah didapat oleh golongan muhajirin iaitu sahabat yang telah berpindah dari Mekah ke Madinah. Walaupun tidak sama seperti pahala orang orang muhajirin tetapi pahala hijrah itu maksudnya pahala yang sangat besar disisi Allah s.w.t.

Kenapa pahala yang begitu besar diberi kepada kita oleh Allah s.w.t ?
Kerana pada akhir zaman maksudnya orang semakin lupa untuk beribadah. Ketika orang ramai sibuk beribadah seperti mana zaman Nabi s.a.w.,zaman para sahabat, zaman tabi'in dan zaman solafus soleh. Pada masa ini pahala yang didapati tidak sebanyak pada zaman kita. Apa jua pekerjaan pun kalau ramai orang boleh melakukannya maka bayarannya sedikit sahaja. Tetapi bila pekerjaan itu tidak ramai yang boleh melakukannya maka bayarannya akan banyak.

Zaman kita ini ramai yang tidak mencari akhirat tapi bila kita masih lagi mencari maka banyak pahala yang akan diperolehinya. Itulah kelebihannya kerana orang ramai tidak memerlukannya. Terbuktinya sekarang ini masing-masing sibuk. Sibuk sampai tidak sempat pergi ke masjid. Hanya mampu sekali seminggu saja pergi ke masjid iaitu pada hari Jumaat.

Kalau tidak hanya pada Solat sunat hari raya sahaja. Sibuk sampai tidak sempat menadah kitab. Orang mengajar hadis, tidak boleh hadir, orang mengajar tafsir, tidak boleh mari, orang mengajar feqah, tidak ada masa, orang mengajar akidah , ada mesyuarat, Orang mengajar Al-Quran biar jadi lembut lidah, biar jadi sah sembahyang, ada hal kat pejabat, orang nak beritahu bab taharah, haid, nifas, tayamum, wudhu. Tidak diperbolehkan juga. Kenapa? nak sambut menantu dan menimang cucu.

Maknanya kita sangat sibuk. Maka zaman orang sibuk ini, barangsiapa yang sempat maka kitalah orang yang terpilih. Manusia hamba Tuhan yan berakal yang diberikan taufik beserta dengan hidayah. Dalam keadaan ramai orang yang lalai maka janganlah kita menjadi lalai.
Dalam surah Al-Ara'f , Allah berfirman ,

"Jangan ada kamu tergolong dalam golongan orang- orang yang lalai".

Kita kena beribadah dalam keadaan ikhlas kepada Allah. Segala perkara yang baik kita niat kerana Allah s.w.t akan menjadi satu ibadah. Memasak kerana Allah, membasuh kereta kerana Allah dan jadikanlah setiap detik itu berada dalam niat ibadah. Hati elemen yang paling utama dalam memimpin manusia itu kepada beribadah kepada Allah. Rasulullah s.a.w bersabda,

"Dalam tubuh anak adam itu ada seketul daging,kalau baik daging yang seketul ini maka baiklah keseluruhan tubuhnya,jika buruk seketul daging itu maka buruklah keseluruhannya,ketahuilah olehmu itu ialah hati".

Beruntung kita yang membersihkan hati !

Duhai sahabat...
Cinta itu di dalam hati...
kita mempunyai sebuah rumah...
Rumah itu sentiasa dikunjungi tetamu...
Ada yang baik dan ada yang buruk.
Terkadang rumah itu cantik apabila kita kemaskan,
kita hiaskan dengan perabot KETAKWAAN,
diwarnai indah dengan warna-warna KEIMANAN
bahkan menjadi perhatian jika dilengkapi dengan kelengkapan ILMU pengetahuan.
Tetamu yang baik hadir menambah perabot rumah mu, wahai kawanku...
Dia mengindahkan lagi warna pada dinding hatimu bahkan sentiasa mengajak memenuhi rumahmu dengan kelengkapan ILMU...

Dan ketahuilah duhai sahabatku...
Tetamu burukmu hanya ingin mencuri perabotmu,
merosak dinding hatimu dan melenyapkan kelengkapanmu
sehingga rumahmu roboh dan kau sendiri ditelan bumi kemaksiatan...
Suatu hari, bayu lembut menyapa telingamu,
mengkhabarkan tentang tetamu yang bernama CINTA ingin bertandang ke rumahmu...
Dan berhajat tinggal di dalam kamar hati mu...

Kau gembira mendengarkannya...
Maka tatkala sang CINTA sampai di hadapan pintu rumahmu...
Apa yang akan kau lakukan ???
menerimanya sedangkan rumah mu bersepah tak terurus ???
Dengan perabot TAKWA yang reput dan sudah lapuk tak diganti,
dan warna-warna IMAN yang luntur tak diperbaharui...
Dan hiasan kelengkapan ILMU yang masih belum mencukupi ???
Sekalipun hatimu berat...

Pintalah sang CINTA itu pulang...
Beritahulah kepadanya... :
Maafkan aku...
Aku masih belum bersedia untuk menerima kau sebagai tetamuku...
Kerana...
Aku ingin menggantikan perabot TAKWA ku kerana ia sudah reput tak bermaya...
Agar TAKWA ku mengingatkan aku agar aku mencintaimu tanpa melupai PENCIPTA ku,
yang Maha Pengasih...

Dan kau sendiri selesa beristirehat di dalam hatiku...
kerana aku ingin memperbaharui warna IMAN pada dinding rumah (HATI)ku...
Agar hilanglah gelisahmu,
reduplah hatimu dan tenanglah jiwamu saat kau memandang
warna-warna IMAN yang indah berseri...
Terang dan menerangi...
Kerana aku ingin menambah segala kelengkapan dan hiasan ILMU dalam rumahku...
Agar kau selesa baring atas hamparan permaidani HARTA ku
dan kau selesa dengan tutur bicara HIKMAH ku...

Kau tahu wahai CINTA ???
Kerana setelah aku menerima mu sebagai tetamu ku...
AKU TAK AKAN BIARKAN KAU KELUAR DARI RUMAHKU BUAT SELAMANYA.......

Duhai sahabat..
Sungguh cinta itu indah,
Namun ia adalah satu anugerah apabila kita sudah mampu dan bersedia...
Tetapi bagi pelajar macam kita ???
Cinta itu biasanya hanyalah musibah...

Cintailah ALLAH...
Yang sentiasa mencintaimu,
memeliharamu dan mengasihimu...
Saat mereka bertanya...
Mengapa kau mencintai ALLAH ?


Katakanlah wahai temanku...
Kerana ALLAH lah yang menciptakan aku,
memeliharaku dalam rahim bondaku,
kerana aku Mendengar namanya saat bapaku berseru di telingaku...
Kerana Dia yang menumbuhkan dagingku...
Dan mengukuhkan tulangku...
Dan sentiasa memaafkan segala salah - silapku...
Tutur bicara mulutku...

Bagaimanalah aku mampu untuk mencintai sesuatu atau sesiapa melibihi ALLAH...
Aku tak menemui alasan untuk mengingkari Nya...
Hidup dan matiku.......
Segalanya untukNya........

Tanggal 15 dan 16 Januari 2011, julung-julung kalinya Syukbah Dakwah Semester 4, Dakwah Aspiration Inspiring Entity (D.A.I.E.) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam telah menganjurkan Seminar Perbandingan Agama, Interactive Dakwah Training (IDT) yang bertempat di Dewan Muktamar Darul Quran. Seminar IDT ini telah melibatkan seramai 400 orang peserta yang terdiri daripada semua ahli Semester 4, Integriti Rasyidul Huffaz (IRSYAD), warga Darul Quran daripada semester lain dan peserta-peserta jemputan dari Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh).

Perjalanan seminar ini bermula pada jam 7.30 pagi hari Sabtu (15 Januari 2011) dengan pendaftaran para peserta dan diikuti dengan Majlis Perasmian program yang dirasmikan oleh Penolong Pengarah Jabatan Akademik, Ustaz Che Mat bin Che Deraman. Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa bangga terhadap pihak penganjur kerana berjaya melaksanakan satu seminar yang bertepatan dengan kehendak semasa dan berharap agar seminar ini berjalan dengan lancar hingga ke penghujungnya.

Seminar ini diteruskan dengan pembentangan kertas kerja yang disampaikan oleh Saudara Lim Jooi Soon dan Saudara Mohd Amin bin Yaacob atau lebih mesra dikenali sebagai Brother Lim dan Brother Amin. Antara kertas-kertas kerja yang dibentangkan ialah, ‘Pentingnya Perbandingan Agama’, ‘Sejarah Perkembangan Agama Kristian’, dan ‘Kepercayaan dan Perayaan Orang Cina’. Seminar ditangguhkan seketika pada waktu tengahari itu untuk memberi laluan kepada waktu solat Zohor dan makan tengahari. Seterusnya, pada jam 2.30 petang, seminar diteruskan dengan pembentangan kertas kerja mengenai ‘Katolik dan Protestan’, ‘Hinduisme’, dan ‘Bible Study’. Seminar pada hari tersebut berakhir jam 5.30 petang.

Berikutan seminar IDT yang dijalankan, satu ceramah yang bertajuk ‘Salah Tanggapan Terhadap Islam’ yang disampaikan oleh Brother Lim telah diadakan pada malam tersebut. Ceramah yang terbuka kepada seluruh warga Darul Quran ini bertempat di Dewan Muktamar dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta serta merupakan sambutan yang berada diluar jangkaan pihak penganjur.

Pada hari terakhir, seminar ini diteruskan lagi dengan pembentangan kertas kerja yang bertajuk ‘Asas-asas Kepercayaan Kristian’ ‘Memahami Cabaran Muallaf’ dan ‘Keaslian Al-Quran’. Bagi memantapkan lagi kefahaman para peserta mengenai keseluruhan pengisian seminar ini, satu sesi soal jawab telah dibuka selama satu jam. Seminar ini seterusnya diakhiri dengan Majlis Perasmian Penutup yang dirasmikan oleh Pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, merangkap Penasihat Syukbah D.A.I.E., Ustaz Shahrulkarnain bin Mohd Nazir. Beliau menyatakan rasa bangga tidak terhingga dengan semangat yang ditonjolkan oleh semua ahli Syukbah D.A.I.E. dalam melaksana dan menjayakan seminar ini yang diketuai oleh Pengarah Program, Saudara Ahmad Zulqornain bin Muhammad Muchtar.

Seminar IDT ini berakhir pada jam 2.30 petang dengan sesi fotografi barisan koordinator program bersama penceramah jemputan dan perasmi Majlis Perasmian Penutup program. Sebagai pengakhiran, kami di barisan pihak penganjur berasa amat bersyukur kerana seminar yang julung-julung kalinya diadakan ini berjaya dilaksanakan dan berjalan lancar seperti yang dirancang hingga ke akhirnya. Walaupun pelbagai mehnah dan tribulasi terpaksa ditempuhi dalam fasa gerak kerja sebelum dan semasa, namun itulah sebaik-baik pengalaman dan kemanisan sebenar dalam diri seorang D.A.I.E. Kami juga berharap agar para peserta dapat mengaplikasikan input-input dakwah yang disampaikan melalui seminar ini sebagai wasilah meneruskan sunnah dakwah Rasulullah S.A.W. Wallahua’lam, jazakumullahukhairanjazaa’.




Kamu... mereka yang dikurniakan Allah nikmat ilmu Al-quran dan hadith.

Yang mengetahui apa yang tidak kami ketahui tentang agama kami sendiri.

Dengan itu, telah menjadi tanggungjawab kamu untuk menyebarkannya kepada kami.

"Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya." - Al-Baqarah, 42

Wahai para dai'e,

Dengarlah rintihan dan permintaan dari kami ini, agar kami boleh memahami apa yang telah menjadi pegangan kami selama ini. Kami tidak ingin jahil selamanya, kami punya semangat tapi kami memerlukan dorongan, sedikit anjakan dari kamu, dan peringatan agar kami tidak kembali lalai.

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." - Ali-Imran, 104

Wahai para dai'e,

Janganlah kamu sesekali merasakan diri kamu itu lebih hebat dan mulia daripada kami, kerana ianya hanya akan menyebabkan kami menjauhi kamu. Biarlah kami sendiri yang merasakan diri lemah dan jahil berbanding dengan kamu agar kami sentiasa mendekatimu untuk memperbaiki diri kami agar memperoleh keredhaan Allah.

"Zuhudlah terhadap apa yang ada di dunia maka Allah akan mencintaimu, dan zuhudlah terhadap apa yang ada di tangan mansusia maka manusia pun akan mencintaimu." - H.R Ibnu Majah dll dgn sanad hassan

Wahai para dai'e,

Berilah kami nasihat dan peringatan yang sesuai dengan tahap kemampuan iman kami, bersikap lembutlah terhadap kami, bantulah kami membentuk aqidah kami, janganlah engkau menyeru kami untuk menunaikan ibadah-ibadah sunnah sedangkan ibadah wajib kami tinggalkan.

Jawablah soalan-soalan kami dengan bijak dan sertakanlah sedikit jawapan tambahan agar boleh kami mengambil pengajaran yang bermanfaat. Seperti mana Rasulullah SAW apabila baginda ditanya sama ada air laut itu boleh dibuat wudhuk atau tidak, baginda menjawab

"Laut itu airnya suci lagi menyucikan dan bangkai haiwannya halal" - H.R Malik, al-Syafi'e

Wahai para dai'e

Telah kamu ketahui tanggungjawabmu, maka tunjukkanlah kami teladan yang baik untuk kami ikuti. Janganlah kamu hanya menasihati kami dengan mulutmu, tetapi tidak dengan akhlakmu. Kita sendiri tahu bahawa Allah dan Rasul-Nya tidak suka perbuatan seumpama itu.

"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?" - Al-Baqarah, 44

Dan, telah kamu wahai para dai'e, menjalankan tanggungjawabmu. Maka tibalah giliran kami untuk menyampaikan nikmat Allah ini kepada saudara kita yang masih tidak mengetahui. Dan semoga kita dirahmatiNya...

"Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya." - Ad-Dhuha, 11